Tuesday, March 15, 2011

GRADUAN UKM-UDE DOUBLE DEGREE PROGRAM ENGINEERING MENJADI REBUTAN MAJIKAN

pesanan dari PROF MADYA DR FATIHAH SUJA'




ARTIKEL UKM-UDE DOUBLE DEGREE PROGRAM

BANGI, 19 Ogos, 2010 – Semua graduan ijazah berganda dari UKM dan Universiti  Duisburg-Essen, Jerman (UDE) mudah mendapat pekerjaan kerana disambar majikan sebaik saja lulus.
Kesemua 48 graduan demikian sejak program itu dilaksanakan pada 2003 telah dengan mudah mendapat pekerjaan setengahnya dengan syarikat multinasional bukan saja di Malaysia bahkan diluar negara seperti Singapura, Jerman dan Algeria.
Yang lain bekerja di syarikat kejuruteraan tempatan di Malaysia, dua orang bekerja sendiri dengan seorang saja di agensi kerajaan. Empat graduan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Penyelaras, Pejabat Antarabangsa UKM di UDE, Prof. Madya Dr Andanastuti Muchtar berpendapat syarikat multinasional besar begitu tertarik dengan graduan ijazah berganda bukan saja kerana prestasi tinggi sebagai jurutera dengan pengetahuan teknikal tinggi tetapi juga kekrana boleh berhubungan dengan baik.
Namun kelebihan paling utama adalah pengiktirafan pelbagai pihak terhadap kecemerlangan bidang kejuruteraan Jerman yang disanjungi seluruh dunia.
“Bagi para graduan kita apa yang lebih membanggakan adalah walaupun agak sukar menguasai bahasa Jerman, kejayaan mereka mempelajari satu bahasa baru dalam mengejar ijazah pertama amat berfaedah sekali,” kata Dr Andanastuti.
Pelajar yang berminat mengikuti program itu semestinya cemerlang daripada segi akademik iaitu mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3.0 pada tahun ketiga pengajian.
Pelajar juga perlu mengikuti kursus Bahasa Jerman sekurang-kurangnya 300 jam sebelum bertolak ke UDE.
Beliau berkata pelajar terpilih akan diberikan wang pembiayaan RM10,000 seorang. Pelajar Islam juga tidak perlu bimbang mengenai makanan atau ketiadaan masjid di bandar itu.
“Di Duisburg-Essen terdapat ramai kaum pendatang Turki yang sudah lama bermastautin di Jerman. Lagipun ramai juga orang Jerman makan nasi,” Dr Andanastuti menjelaskan.
Kerjasama akademik rapat di antara UKM dengan UDE telah berjalan kira-kira sedekad sejak dimulakan pada tahun 2000. Perjanjian Persetujuan dan Perjanjian Persefahaman di antara dua institusi itu dimeterai pada tahun 2002 dan 2006.
Dibiayai Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman, perkongsian di antara UKM dengan UDE diperkuatkan pada tahun 2003 dengan perkembangan dan pelaksanaan program ijazah berganda dalam Sains Komputer dan Kejuruteraan Perhubungan.
Sejak pelancarannya, program tersebut telah dilanjutkan kepada bidang kejuruteraan lain dengan sejumlah 62 pelajar dari UKM menyertainya.
Pelajar yang  menyertai program ini adalah daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Mekanikal dan Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Awam dan Struktural.
Kumpulan terbaru pelajar daripada UKM seramai 16 orang akan berlepas ke Jerman pada Oktober ini dengan 16 orang lagi pelajar akan ke UDE tahun depan.
Kumpulan pelajar itu menghabiskan antara12 hingga 18 bulan di UDE untuk menamatkan dua semester terakhir mereka dan mengikuti latihan industri. Kursus diperbandingkan dan dikira untuk perpindahan kredit.
Pelajar Jerman dengan tahap pengajian yang sama juga diambil belajar di Fakulti Kejuruteraan UKM, Bangi.  Bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka belajar di UKM untuk jangka masa lebih singkat sebagai pelajar program pertukaran berbanding pelajar ijazah berganda.
Pada tahun 2005 tiga pelajar dari UDE menyertai program prasiswazah UKM sementara empat lagi sebagai pelajar pascasiswazah dan telah menamatkan pengajian pada 2006.
Tidak ramai pelajar Jerman yang datang mengikuti pengajian di UKM dengan terbaru seorang saja menamatkan kuliah sebagai pelajar program pertukaran di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Peralatan.
Selain program Ijazah berganda beberapa pertukaran tenaga pengajar juga dianjurkan. Program bagi pensyarah UKM sebagai pensyarah jemputan di UDE bermula dengan Prof. Ir. Dr Abd Halim Shamsuddin (semester musim panas 2002), diikuti Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali (semester musim panas 2004), Prof. Dr. Ing. Nik Abdullah Nik Mohamed (semester musim sejuk 2004/2005),  Prof Dr Jaafar Sahari (semester musim sejek 2005/2006) dan terbaru Prof. Madya Dr Andanastuti Muchtar (semester musim sejak 2007/2008 dan semester musim panas 2008).
Kedua-dua rakan kongsi ini sentiasa giat menjalankan penyelidikan dengan beberapa perkongsian dilakukan dalam bidang penyulingan air kumbahan, kejuruteraan komputer, kejuruteraan jana kuasa, perhubungan antara-budaya, bahan ciptaan bijak, bahan termaju, kejuruteraan pengangkutan, sel penjana dan tenaga boleh diperbaharui (biogas dan biohidrogen).
UKM telah juga menubuhkan Pejabat Antarabangsanya di UDE. Ia dijangka menawarkan peluang lebih luas kepada UKM dalam bidang akademik terutama di Eropah dengan lebih banyak kolaborasi dijalin dengan universiti-universiti lain dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi antarabangsa. Ini bersesuaian dengan tema UKM sebagai “universiti kebangsaan dengan jangkauan antarabangsa”.


SUMBER ARTIKEL DARI http://pkukmweb.ukm.my/news/index.php/ms/component/content/article/436-ukm-ude-double-degree-graduates-highly-sought-after-by-employers.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...